1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya
sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk
keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan
yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing
lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah
menceritakan 'Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan
rumahtangga..
3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke
masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.
4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda
teramat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk
sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.
Maka Nabi bertanya, 'Belum ada sarapan ya Khumaira?' (Khumaira adalah panggilan
mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.
Rasulullah lantas berkata, 'Jika begitu aku puasa saja hari ini tanpa sedikit
tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.
5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang
suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, 'Mengapa engkau memukul
isterimu? Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, 'Isteriku sangat
keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah
dia. Aku tidak bertanyakan alasanmu,' sahut Nabi s. a. w. Aku menanyakan
mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?
6) Pernah baginda bersabda, 'sebaik-baik lelaki adalah yang
paling baik,kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.' Prihatin, sabar dan
tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun
menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.
7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat
oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain
amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah
sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.
Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya
setelah selesai bersembahyang, 'Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan
menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?' 'Tidak,
ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.' 'Ya Rasulullah... mengapa setiap kali
tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh
tuan? Kami yakin engkau sedang sakit...' desak Umar penuh cemas....
Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat
terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang
berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil
itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh
baginda.
Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak
punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?' Lalu baginda menjawab
dengan lembut, 'Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan
demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku
sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?' 'Biarlah kelaparan ini sebagai
hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini
lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.'
8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di
sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.
9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap
dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan
dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di
dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa
kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa
ke tuanan.
11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak
dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai
mahupun dalam keseorangan.
12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda,
baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah
hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.
13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya
yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya Rasulullah, bukankah
engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini? Jawab
baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba?
Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.'
No comments:
Post a Comment